Muqoddimah
Segala puji bagi Rabb, yang mentadbir setiap detik alam ini termasuk segala inci dari diri kita. Manusia tiada kuasa bahkan sekecil zarah sekalipun untuk menggerakkan diri masing2 melainkan semuanya adalah dari ALLAH. Selawat dan salam ke atas junjungan penyampai Risalah Penegak Kebenaran di atas muka bumi ALLAH ini. Serta para sabahat baginda yang dalam hati mereka sentiasa teguh dengan perjuangan yang ditanam oleh baginda nabi.
Ramadhan sudah hampir untuk melabuhkan tirainya. Bagi para abid yang cintakan hubungan dengan ALLAH akan merintih dan menangisi pemergiannya. Bagi orang awam pula sebaliknya bergembira dan ada segelintir yang sedih. Yang gembira kerana tidak lama lagi hendak menyambut syawal. Masakan dengan pakaian baru yang dikenakan dan kunjungan ziarah, siapa yang tidak gembira dan yang lebih penting sudah tidak perlu menahan rasa lapar untuk makan di siang hari. Bagi sebahagian yang sedih tidak lain hanya kerna mengenangkan pemergian sanak saudara dan kaum kerabat yang terdekat ke rahmatuLLAH, yang mana mereka tidak sempat untuk meraikan syawal pada kali ini sesama sendiri.
Namun, sedarlah ada satu lagi kelompok yang sewajarnya menzahirkan perasaan dan impak keatas diri mereka setelah sebulan menelaah universiti tarbiyah ramadhan. Golongan itulah yang digelar dalam Al-Quran sebagai golongan "Hizbullah". Mereka bukan sahaja semata melakukan abid diatas sejadah semata namun jauh di dalam seluruh struktur kehidupan mereka sehinggakan kepada urusan atau siasatuddunya yang dilakukan seharian adalah selaras dengan pengabdian kepada ALLAH. Bahasa lain bagi golongan ini adalah pendakwah Islam. Seharusnya status perasaan dan pandangan mereka terhadap ramadhan adalah berbeza dari kelompok yang lain. 3 Konsep yang seharusnya di teliti melalui ramadhan bagi golongan ini yang terkandung dalam bulan mulia ini. Konsep itu ialah Ukhuwwah & Mahabbah, Jihad & Pengorbanan dan Tawakkal kepada ALLAH.
Ukhuwwah & Mahabbah
Dalam kesibukkan mengharapkan maghfirah daripada ALLAH, seharusnya para penolong agama ALLAH ini harus mendoakan juga daripada ALLAH untuk para sahabat mereka termasuk juga sasaran dakwah mereka. ALLAH lah yang memegang tautan hati antara manusia. Ukhuwwah tidak hanya dizahirkan malah perlu dibatinkan iaitulah melalui pengharapan kepada ALLAH tadi. Tautan fizikal tempohnya singkat, tautan hati tempohnya berpanjangan dan akan kekal ke akhirat dengan izin dan hidayah daripada ALLAH. Firman ALLAH dalam surah Al-Hujurat:10 mafhumnya " sesungguhnya mu'min itu bersaudara maka perteguhlah diantara persaudaraan itu".
Jihad & Pengorbanan
Dalam satu siri ghazwah(Peperangan) yang pernah tercatat dalam sirah nabi, tergambar satu sikap dan tindakan yang ditunjukkan oleh para sahabat yang iman mereka bukan mainan dan picisan. Sikap Mujahadah golongan Muhajirin dan Ansar dalam meredah rintangan dalam peperangan dan pengorbanan mereka untuk meninggalkan keluarga di dalam bulan ramadhan telah mengajar kita supaya terus melaksanakan tugas-tugas menegakkan agama di atas muka bumi ini walau apa sekalipun. Seharusnya mujahadah para pendakwah dibulan ramadhan ini bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa namun lebih daripada itu kita perlu lebih mujahadah untuk terus melaksanakan tugas yang telah diturunkan oleh para anbiya tersebut iaitu menegakkan Islam di muka bumi ini. Mafhum firman ALLAH dalam surah As-Shoff:13 "Beriman lah kepada ALLAH dan berjihadlah di jalan ALLAH dengan Harta dan Jiwa kamu".
Tawakkal kepada ALLAH
Firman ALLAH dalam surah Al-Fatihah:5 " Kepada engkaulah kami sembah, dan kepada engkaulah kami memohon pertolongan". Kekadang kita kata yang ALLAH itu berikan rezki kepada kita, tapi dalam masa yang sama kita takut kehabisan harta jika terlalu kuat bekerja untuk menyampaikan Islam. Jadi bulan ramadhan ini dari perspektif pendakwah tidak hanya ibadah itu untuk mengejar pahala, namun anggaplah segala ibadah itu adalah untuk mencari peluang supaya dekat dengan ALLAH dan rapat yang sangat dan untuk kita yaqin kepadanya. Perbuatan ini bukan mudah untuk dipraktikkan namun haruslah kita terus berusaha untuk lakukan. ALLAH bersama dengan insan yang senantiasa ingin rapat dengannya.
Konklusi
Walaupun bulan ramadhan semakin hampir kepada penghujungnya, namun seharusnya hakikat ramadhan itu harus dibawa sepanjang tahun sehingga bertemu dengan ramadhan yang akan datang. Segala teori nampak indah namun lebih indah jika ianya dapat dipraktikkan. ingatan ini untuk diri sendiri dan diri sidang pembaca sekalian. senantiasalah kita memohon maghfirah daripada ALLAH dan minta doa supaya kita istiqomah dalam iman kepadaNYA dan senantiasa dalam jalan sabilNYA.
wALLAHua'lam......
No comments:
Post a Comment