Wajib ada Tanzim bagi Gerakan Islam
Pernah seorang anak betanyakan kepada bapanya tentang kenapa orang kampung suka buat kenduri gotong-royong?. Lalu bapanya menyuruh anaknya yang bertanya itu mengambil penyapu lidi yang bersandar di tepi dinding rumah. Pertama, sibapa itu menyuruh anaknya mematahkan sebatang lidi tersebut dan anaknya yang lurus itu hanya mengikut apa yang diminta oleh ayahnya itu dengan penuh persoalan. Kemudian bapanya meminta supaya anaknya mematahkan penyapu lidi itu keseluruhannya dan anak tersebut lakukan seperti apa yang ayahnya minta.
Anak itu pun bertanya kepada ayahnya apa kena mengena soalan yang dia Tanya kepada ayahnya dengan mematahkan lidi tersebut?. Lalu si ayah tersebut bertanya semula kepada anaknya apa terjadi dengan lidi dan penyapu lidi tersebut. Anaknnya menjawab bahawa sebatang lidi lebih mudah dipatahkan berbanding dengan penyapu lidi. Ayah budak tersebut pun membuat kesimpulan samalah seperti kita sebagai manuisa. Kita mudah dipatahkan(dikalahkan atau menyerah kalah) jika kita hanya bekerja secara bersendirian berbanding secara berkumpulan.
Firman ALLAH :
“Sesungguhnya ALLAH amat menyukai orang-orang yang berperang di jalanNYA dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
(Surah Assaff : Ayat 4)
Sabda Rasulullah :
“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada bebiri, mereka tidak akan membaham bebiri jika ianya berada dalam kelompoknya tetapi mereka hanya membaham bebiri yang berjalan sendirian, oleh itu hendaklah kamu menyertai jemaah dan pergi ke masjid serta bersama dengan masyarakat.”
Jelas sekali dalam kedua-dua dalil Al-quran dan hadith ini bahawa pentingnya untuk kita berada didalam perkumpulan dan jika boleh cuba untuk mengelak agar diri kita tidak sendirian terutamanya dalam melakukan sesuatu kerja. Begitu juga dalam gerak kerja Islam (Amal Islami). Satu tugas dan amanah yang besar sebolehnya tidak akan terpikul jika penggeraknya hanya melakukanya secara bersendirian.
Perjalanan yang susah dan jauh
Organisasi yang tersusun dalam gerakan Islam amat penting kerana jalan yang akan ditempuhi amatlah jauh dan susah serta pelbagai cabaran. Sebagaimana Firman ALLAH :
“Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanannya tidak begitu jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka….”
(Surah Attaubah : Ayat 42)
Berdasarkan firman ALLAH tersebut, dapatlah kita fahami bahawa kerja-kerja Fisabilillah ini ada 2 perkara besar. Pertama susah dan yang kedua jauh(panjang). Kerja yang susah tidak akan terlaksana oleh hanya seorang individu semata, tapi ianya harus dilaksanakan secara kolektif agar dapat meringankan beban yang dipikul. Kerja yang berat yang dilakukan secara sendirian akan mengakibatkan kita berasa kepenatan dan akhirnya akan meninggalkan kerja-kerja itu. Selain berat dan susah factor perjalanan gerakkerja Islam itu juga menempuhi jalan yang jauh. Perjalanannya adalah sehingga hari akhirat. Umur kita singkat dan pastinya tidak sempat untuk mengecapi zaman hadapan bagi gerakkerja Islam selepas zaman kita. Perjalanan yang jauh perlukan penyambung. Dari mana kita boleh dapatkan penyambung jika kita tidak menyediakan pengganti bagi kerja kita. Melalui perancangan organisasi yang berkesan maka segala persoalan tentang kesinambungan gerakkerja Islam akan dapat berlansung dengan lancar.
Gerakan Mahasiswa Islam
Sebagai contoh gerakkan Mahasiswa Islam di kampus, semestinya sebagai seorang mahasiswa, maka kita masih tertakluk dengan tugas-tugas akademik yang banyak dan dalam masa yang sama kita sebagai da’ie perlu menjalankan kerja-kerja dakwah. Oleh itu pembahagian tugasan dalam dakwah boleh dilakukan jika kita mempunyai tanzim yang efektif dan tersusun. Kita sebolehnya tidak mahu samaada akademik ataupun kerja-kerja dakwah menjadi penghalang kepada kita sehingga kita menjadi beban kepada gerakkerja jemaah. Ada juga sesetengah pihak yang suka untuk menyalahkan jemaah secara lansung atas musibah yang menimpa diri. Banyak contoh yang kita boleh ambil sebagai pengajaran dalam gerakkerja jemaah kampus masa kini. Salah satu contoh kes Norhayati (UTM) yang pernah menggemparkan seluruh Negara. Kesan daripada kes itu maka seluruh gerakan kampus menjadi terhad kerana tekanan hebat daripada pihak-pihak yang tidak sukakan kebangkitan Islam dikalangan Mahasiswa.
Namun dari satu sudut pandangan yang positif, ianya menyedarkan seluruh gerakan Mahasiswa Islam agar mengurus organisasi dengan lebih mampan dan tersusun seumpama bangunan yang kukuh yang digambarkan di dalam Al-Quran.
Organisasi tersusun Manhaj Islam dan Sunnah Nabi
Apa yang jelas disini bahawa gerakan dakwah Islam yang mempunyai organisasi yang tersusun dan terancang sebenarnya selaras dengan apa yang difirmankan oleh ALLAH dalam kebanyakkan surah di dalam Al-Quran. Ianya juga boleh dikatakan sebagai satu sunnah ikutan yang diperturunkan daripada Nabi Muhammabd Sallallahualaihiwasalam sejak lebih 14 abad yang lampau. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan kesimpulan kepada sesiapa yang menolak organisasi maka mereka adalah bertentang dengan manhaj Islam dan sunnah Nabi walaupun mereka mengaku bahawa Islam itu Syumul.
Islam yang syumul bukan semata indah dibibir, tetapi ianya suatu praktik yang harus digerakkan dan dikerahkan dengan seluruh anggota zahir dan batin. Ianya juga bukanlauh bersifat teori semata akan tetapi ianya bersifat praktikal dan realiti mengikut edaran zaman dan keadaan masyarakat.
Oleh itu mahasiswa khususnya harus membuka seluasnya mata mereka samaada mata zahir mahupun mata hati untuk melihat dan menilai sejauh mana gerakkan dakwah yang harus diikuti yang benar-benar menepati cirri-ciri yang di khabarkan oleh ALLAH dan RasulNYA.
Wallahualam.
KJ
No comments:
Post a Comment