Pages

Thursday, October 25, 2007

CINTA SEORANG GADIS KEPADA ALLAH



Sebuah gubuk tua terletak di pinggir kota Basrah merupakan tempat yang menjadi pilihan Ismail, ayah Rabiah.Di situlah beliau menghabiskan masanya dan kadangkala membawa Rabiah untuk belajar hidup di tempat yang terpencil jauh dari kebisingan kota metropolitan agar anaknya terpelihara dari pengaruh pergaulan yang tidak sihat. Ismail cukup
dikenali dengan seorang yang warak,abid serta zahid.

Rabiah merupakan anak ke4 dan mempunyai 3 orang kakak. Dalam usia yang masih mentah dengan kasih sayang orang tua, ibu bapanya kembali ke rahmatullah. Namun iman dan cinta yang tulus dalam jiwanya sudah memadai untuk menjadi senjata yang berkesan untuk meneruskan kehidupannya. Beliau tidak kehilangan arah dibawa arus dan gelojak
emosi kekanak-kanakan.

Tatkala berlakunya kemarau yang berpanjangan di Basrah, tiada yang boleh Rabiah dan kakak-kakaknya jual dan gadaikan untuk ditukarkan dengan segenggam gandum buat pengalas perut. Mereka cuba menawarkan diri untuk melakukan apa jua pekerjaan yang boleh mendatangkan rezeki yang halal bagi mengisi perut mereka. Ketika itu, bukan sahaja benda-benda diperdagangkan tetapi manusia turut dijual beli. Begitulah yang terjadi pada Rabiah. Sedang beliau berjalan-jalan di Kota basrah, beliau diculik dan dijual dengan harga enam dirham kepada seorang lelaki yang tidak berprikemanusiaan. Dalam usia kanak-kanak, beliau
dibebankan dengan kerja yang kebiasaannya dilakukan oleh orang dewasa.

Meskipun dihimpit kesukaran dan penderitaan, beliau tidak pernah meninggalkan solat malam, lidahnya basah dengan zikrullah dan beristighfar kepada Allah. Cubaan dan rintangan yang melanda membuatkan beliau lebih tekun berubudiyah kepada Allah. Penderitaan yang ditanggungnya di bawah kekuasaan majikannya menimbulkan kebimbangannya terhadap nasib yang menimpa kakak-kakaknya. Kehairanan muncul di benak fikirannya berikutan perhambaan sesama manusia yang hakikatnya sama di sisi Allah. Manusia adalah hambadan ciptaan yang harus mengikut kehendak Khaliqnya berlandaskan syariat yang telah diturunkan kepada manusia.

Ayuh kita perhatikan bait-bait kalimah yang meniti di bibir Rabiah ketika bermunajat kepada Allah, " Oh Tuhanku, aku tidak peduli apa pun ujian dan kesengsaraan yang ku tanggung selagi Engkau tidak marah kepadaku. Kerana aku yaqin rahmat dan keampunan Mu jauh lebih luas dan lebih besar bagiku. Aku berlindung pada nur zatMu yang menerangi tujuh lapis langit dan menerangi kegelapan. Aku berlindung padaMu daripada mendapat marahMu, Engkaulah yang berhak memarahi aku, dan tiada daya dan upayaku melainkan dengan kekuatanMu."

Ketaqwaannya dapat dilihat sejak kecil. Suatu ketika sedang makanan terhidang di hadapannya, beliau tidak menjamah tersebut lantas berkata pada ayahnya, " Bukankah makanan yang haram tidak akan menjadi halal meskipun ayah kasihan melihat keadaan kami yang kelaparan." Ismail tidak menduga kata-kata itu terungkap di bibir anaknya. Rabiah enggan makan selagi ayahnya tidak memberi respon terhadap soalnnya. Lantas ayahnya berkata, "Wahai Rabiah, bagaimanakah sekiranya ayah tidak dapat mencari makanan yang halal buat kita?" Rabiah menjawab, "Hanya ada satu jalan, yakni bersabar. Bukankah menahan lapar ketika hidup lebih baik daripada menderita di neraka sesudah mati?" Alangkah terharunya hati Ismail mendengar jawapan anaknya itu.

Ujian paling getir buat dirinya tatkala diperhamba oleh manusia yang kejam lagi bengis. Namun tahukah kalian apakah yang membuatkan Rabiah dimerdekakan? Kala malam menjelma, si majikan tidak dapat melelapkan mata. Telinganya mendengar suatu bunyian yang datangnya dari bilik Rabiah. Dia melangkah perlahan dan memerhatikan ke dalam bilik Rabiah melalui celah-celah dinding. Rabiah sedang bermunajat kepada Allah. Ya ,kepada Allah sahajalah Rabiah menyerahkan diri dan hidupnya.

"Ya Rabbi, sesungguhnya Engkaulah yang lebih mengetahui
bahawa aku sentiasa mahu berkhidmat kepadaMu kerana berkhidmat
padaMulah yang paling menyenangkan aku. Sekiranya aku diberi hak unuk
memilih, maka tentu aku memilih berkhidmat kepadaMu, wahai Tuhanku.
Aku akan terus bermunajat kepadaMu sepanjang hayatku. Mengapakah
Engkau masih membiarkan aku hidup dengan orang yang tidak berhati
perut ini, wahai Tuhanku…mengapa?"

Bergementaranlah seluruh jiwa raga majikannya. Tatkala itu teringatlah segala peristiwa yang berlaku sejak Rabiah dibelinya sebagai hamba dan corat-coret kehidupan sepanjang Rabiah menjadi hambanya yang tidak pernah mengeluh dan membantah, hanya menuruti perintahnya. Dia teringat akan sikap Rabiah, sentiasa menjaga solat pada awal waktu. Beliau segera meminta kebenaran menunaikan solat sebaik sahaja kedengaran azan.Dia mengakui kezaliman yang dilakukannya lantaran mengambil haq dan kebebasan Rabiah. Dia memerdekakan Rabiah sekaligus ingin bertaubat dari keterlanjuran itu dan kembali kepada jalan kebenaran.

Rabiah memilih untuk terus bujang bukan kerana tidak menggalakkan perkahwinan yang dianjurkan Rasulullah tetapi bimbang berkurangnya cintanya terhadap Allah. Beliau akur tugas sebagai isteri dalam mentaati suami dan mendidik anak-anak akan menyebabkan masanya untuk berubudiyah kepada Allah semakin singkat lantaran amanah sebagai isteri dan ibu. Beliau menolak kesenangan dan keseronokan yang bersifat duniawi demi mengaut cinta Ilahi. Makan minumnya sekadar memberi tenaga untuknya beribadah dan pakaiannya sekadar dapat menutup aurat bukan untuk bermegah-megah.

Firman Allah dalam surah AtTaubah ayat 24, terjemahannya;

" Katakanlah (wahai Muhammad), jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-
mara, isteri-isteri kamu dan keluarga kamu, harta benda yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah
tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu sukai berbanding Allah dan
RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah hingga
Allah mendatangkan keputusanNya ( ke atas kamu)."






Cebisan kisah buat tatapan bersama, diambil buku bertajuk " Cinta Seorang Gadis kepada Allah" nukilan Mohd Sofwan Amrullah. Andai ada salah bicara harap diperbetulkan.

Wallohu a'lam..

No comments:

Post a Comment